Kaedah

5 kaedah mudah menangani murid malas belajar, tidak fokus dalam kelas

Sesi persekolahan kembali dibuka, pastinya setelah lebih 260 hari persekolahan fizikal ditutup, guru berhadapan dengan pelbagai situasi yang di luar jangka. Kerenah murid yang pelbagai dalam bilik darjah perlu dihadapi dengan bijaksana. Antaranya telatah murid yang enggan hadir ke sekolah, tidak bersedia untuk mengikuti sesi pembelajaran dalam kelas malahan masih ada murid tiada motivasi untuk kembali ke sekolah.
Apapun situasinya, guru perlu bijak mengendalikan keceriaan bilik darjah dengan adanya murid-murid di sekolah. Tidak dinafikan, mereka sudah pasti ada mempunyai pelbagai teknik dan pendekatan untuk mendepani situasi pelajar malas untuk belajar dan tidak fokus semasa sesi pembelajaran dalam kelas.
Berikut dikongsikan lima tips mudah untuk mendepani cabaran murid malas belajar dan tidak fokus semasa dalam sesi pembelajaran:

Guru perlu kenal gaya pembelajaran muridnya dalam merancang pengajaran dan pembelajaran yang dapat memenuhi keperluan pelajar sekali gus mengelak perasaan malas dalam kalangan muridnya.

Gaya pembelajaran merujuk kepada bagaimana seseorang dapat memproses dan mengamati sesuatu maklumat yang diperoleh dalam pelbagai cara mengikut kekuatan persepsi dan sensorinya. Terdapat bermacam-macam instrumen yang dapat digunakan oleh guru untuk mengenali gaya pembelajaran murid. Apabila memahami gaya pembelajaran murid, guru dapat menjalankan aktiviti pembelajaran yang bersesuaian dengan minat, kecenderungan dan kebolehan muridnya. Ini secara tidak langsung mengelak perasaan malas dan tidak fokus murid semasa menjalani aktiviti pembelajaran di dalam kelas.

Aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas perlu dirancang dalam pelbagai pendekatan. Bersesuaian dengan gaya pembelajaran murid di dalam kelas, guru boleh mempelbagaikan pendekatan yang tidak hanya terhad kepada kuliah dan penerangan, sebaliknya menjalankan pelbagai aktiviti berbentuk projek, sumbang saran, lakonan, nyanyian, didik hibur, main peranan, pembelajaran berbalik dan kajian kes yang memberi ruang dan peluang untuk murid terbabit aktif dalam pembelajaran.

Selain itu, untuk memastikan bahawa setiap murid dapat memberi fokus kepada pembelajaran di dalaman kelas, maka pedagogi pembelajaran bermakna (New Deep Learning Pedagogies) sangat penting dalam memastikan bahawa setiap murid menyedari akan kepentingan untuk pembelajarannya

Persekitaran pembelajaran yang kondusif untuk pembelajaran murid adalah faktor penting dalam memastikan murid memberi fokus kepada pembelajaran dan berminat untuk mendalami sesuatu topik pembelajaran. Justeru, dalam merangka iklim pembelajaran yang kondusif perkara penting untuk diberi perhatian oleh setiap guru dalam menyusun atur bilik darjah adalah ruang pembelajaran selesa, selamat dan murid dapat bergerak aktif untuk berinteraksi dan melakukan aktiviti pembelajaran.

Susun atur bilik darjah yang terhad dan mengekang pergerakan murid untuk melakukan aktiviti pembelajaran dan menyebabkan mereka cepat bosan, malas serta tidak dapat memberi fokus yang baik dalam pembelajaran. Penting untuk guru menghias bilik darjah, namun ia tidak sepatutnya berlebihan khususnya dalam pemilihan warna, dekorasi dan perkakasan yang tidak diperlukan. Pencahayaan dan pengudaraan dalam ruang bilik darjah juga penting dalam memastikan murid terbabit aktif dalam pembelajarannya.

Pengajaran dan pembelajaran di sekolah seharusnya memberi pengalaman positif kepada murid dalam pengembangan potensi dirinya. Maka, dalam menghadapi kerenah anak murid yang malas, lemah dan tidak memberi fokus kepada pembelajaran, guru seharusnya lebih peka kepada kekuatan dan kelebihan mereka. Komitmen guru yang memberi fokus kepada sikap positif murid dapat membantu pelajar malas dan tidak fokus terangsang untuk memperbaiki diri. Ini kerana murid berasa selesa dengan guru dan berani untuk menyatakan masalah serta berkongsi permasalahannya dalam pembelajaran.

Justeru, tindakan guru memperbanyakkan latihan serta kerja rumah yang bersesuaian dengan tahap murid menjadi pemangkin kepada mereka untuk memperbaiki diri dan terus belajar untuk memperbetulkan kesalahan dan seterusnya menguasai pembelajaran. Guru juga boleh menjalankan aktiviti pembelajaran yang dapat mendorong minat murid untuk belajar seperti lawatan, perkongsian pengalaman pembelajaran, aktiviti kreatif atau belajar di luar bilik darjah.

Penghargaan dan pengiktirafan adalah elemen penting dalam memotivasikan murid untuk belajar, memperbaiki kelemahan serta memberi semangat untuk mencuba sesuatu yang baharu. Pujian antara bentuk penghargaan dan pengiktirafan paling mudah namun memberi kesan besar terhadap motivasi murid yang malas dan tidak fokus semasa dalam kelas. Guru perlu sentiasa memberi pujian kata-kata semangat dan dorongan dapat membantu meningkatkan keyakinan murid terhadap pembelajarannya.

Hadiah atau cenderahati mahupun sijil pengiktirafan dapat mendorong murid untuk lebih kuat berusaha dan memperbaiki kelemahan diri. Walau bagaimanapun, hadiah yang diberikan perlulah sepadan dengan konteks setempat. Ini kerana dalam situasi tertentu penghargaan dalam bentuk pujian lebih berkesan daripada hadiah yang berbentuk kebendaan.

error: Content is protected !!